Gentari Sdn Bhd berhasrat untuk membina antara 500 sehingga 550 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Gentari, Haikal Zubir, berkata ketika ini terdapat sebanyak 142 poin pengecasan termasuk 56 di sepanjang lebuh raya.
"Pembinaan stesen pengecasan EV ini akan dilaksanakan di sepanjang lebuh raya, kawasan bandar dan daerah-daerah terpilih.
"Diharap dengan adanya penambahan lebih banyak poin pengecasan kenderaan di kawasan memerlukan akan membantu memudahkan pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof melawat Stesen Pengecasan EV Gentari di Hentian Sebelah Senawang Arah Selatan, pagi tadi.
Lawatan itu adalah sebahagian daripada Program PETRA Skuad Zon Selatan Ke Melaka yang berlepas dari Menara PETRA, Putrajaya.
Mengulas lanjut Haikal berkata, pembinaan lebih banyak stesen pengecasan EV di seluruh negara turut diharap dapat mengatasi limitasi punca kuasa pengecasan terutama kawasan Rehat dan Rawat (RnR) lebuh raya.
Sementara itu, Fadillah turut menasihati pengguna EV supaya memilih stesen pengecasan yang mempunyai lesen bagi mengelak daripada kenderaan berhadapan masalah.
Ini kerana stesen pengecasan yang tidak berlesen boleh menyebabkan kenderaan terbakar.